Wednesday, September 16, 2009

..mencari kebaikan seribu malam..

Sepanjang minggu ini, kawasan kampung saya setiap malam dibingitkan dengan bunyi letupan mercun dan meriam 'kabad', iaitu sejenis meriam buatan sendiri yang cukup popular di kawasan desa dan kampung-kampung. Anak-anak muda di Jengka tidak serupa dengan anak-anak muda di bandar-bandar. Mereka pandai membuat meriam buatan sendiri, yang bunyi letupannya boleh menggegarkan bumbung rumah kita..

Situasi berkenaan bermaksud Aidilfitri bakal menjelang tiba, manakala Ramadhan kian meninggalkan kita. Ketika saya menulis posting ini, sudah 26 hari umat Islam berpuasa, malam ini merupakan malam ke 27. Ia termasuk dalam malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan yang dijanjikan Allah malam Lailatul Qadar pada satu dari mana-mana malam tersebut.

Lailatul Qadar disebut Allah sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Jika dihitungkan, seribu bulan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun, satu jangkamasa yang begitu lama. Jarang-jarang kita dengar pada hari ini ada manusia yang hidupnya boleh bertahan hingga berusia 83 tahun, Nabi kita sendiri pun hanya dipanjangkan usianya oleh Allah hingga umur 63 tahun.

Namun, seperti sudah menjadi satu kelaziman, surau-surau dan masjid-masjid akan semakin lengang dan kosong menjelang 10 malam terakhir. Sudah menjadi 'terbalik kot'. Jangkamasa yang dijanjikan Allah pembebasan dari api neraka itu, tidak direbut dengan sebaiknya oleh sesetengah daripada kita. Mungkin mereka yang tidak hadir menunaikan tarawih di masjid itu, sibuk dengan anak-anak dan cucu-cucu yang baru pulang dari kota, almaklumlah, dah lama tak jumpa..mungkin saja...

Suasana tarawih di kampung saya tahun ini sedikit berlainan. Tidak seperti tahun-tahun sudah, tahun ini alhamdulillah, cukup ramai jemaah yang masih hadir berjemaah Isyak dan tarawih di masjid walaupun sudah menghampiri ke penghujung Ramadhan ini. Lebih membanggakan, terdapat juga ramai anak-anak muda dan generasi cilik yang masih bersekolah rendah cukup ramai hadir. Alhamdulillah..

Apa yang kita mohon supaya Allah kurniakan kebaikan malam seribu bulan kepada kita, InsyaALLAH..


Monday, September 14, 2009

..cerita MIC dan meniup habuk..

Sekian lama saya tidak menjengah laman blog ini, sememangnya penuhlah ia dengan 'habuk-habuk kesunyian'. Hari ini saya tiup habuk-habuk itu dan insyaAllah, saya akan kembali gilap blog ini sampai berkilat, agar tiada habuk yang akan bertandang lagi..

Di sekeliling kita hari ini, begitu banyak isu yang boleh diperkatakan. Pergi sahaja ke mana-mana warung kopi selepas tarawih malam ini, pasti ia akan riuh rendah dengan pelbagai debat, diskusi, dan sebagainya, takj kurang juga yang berlawak jenaka hingga menarik perhatian orang lain yang tak ada kena mengena pun dengan cerita mereka.

Hari ini, saya sedikit berminat dengan cerita yang berlaku dalam MIC, parti terbesar kaum India di negara ini. Satu Malaysia (1Malaysia) sedia maklum bahawa Datuk Seri S.Samy Vellu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemegang jawatan Presiden paling lama dalam sesebuah parti politik di negara ini. Samy menjadi Presiden MIC pada tahun 1979, ketika saya dan hampir majoriti anak muda masa kini belum pun dilahirkan lagi..!! Ini satu sejarah penting..!! Patutnya perlu dipanggil Malaysia Book of Records (MBOR) hadir menyampaikan sijil kepada Datuk Samy atas pencapaian menakjubkan beliau itu..

Itu yang seronoknya, tapi ada juga cerita yang tak seronok.. Berikutan keputusan pemilihan itu, ramai yang meramalkan MIC akan makin tersungkur pada masa akan datang. Hal ini tidaklah sukar untuk difikirkan logiknya. Datuk Subra, bekas Timbalan Presiden selama 20 tahun kalah buat kali kedua dalam pertandingan kali ini. Beliau memperoleh undi yang agak banyak juga dari perwakilan, hanya kurang 82 undi dari pemenangnya, Datuk Palanivel.

Selepas itu, Datuk Samy membayangkan Datuk Subra akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti kerana beberapa alasan. Nampaknya sekali lagi presiden parti menggunakan pengaruhnya selepas mendesak perwakilan mengundi calon pilihan beliau. Hasilnya, menanglah Palanivel, Dr.S.Subramaniam, Devamany, Saravanan dan ahli CWC lainnya. Apapun, paling menarik untuk diperhatikan ialah undi perwakilan yang sebanyak lebih 800 undi itu telah memihak Datuk Subra dan Datuk Sothi itu petanda amat jelas bahawa mereka menolak Palanivel dan secara tidak langsung menolak Samy Vellu.

Datuk G Palanivel* - 629
Datuk S Subramaniam - 547
Datuk S Sothinathan - 280

Jelas, walaupun calon pilihan presiden menang bergaya dalam pemilihan MIC kali ini, jauh di sudut hati perwakilan, mereka sebenarnya ingin meniup 'habuk-habuk' dalam MIC agar keluar jauh dari parti itu..


Saturday, May 16, 2009

..penghargaan kepada guru..

Hari ini, 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut setiap tahun di negara ini, bagi memberi makna sebuah penghargaan terhadap guru seperti mana madah-madah sajak nukilan Sasterawan Negara, Usman Awang :

jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
jika hari ini seorang raja menaiki takhta
jika hari ini seorang presiden sebuah negara
jika hari ini seorang ulamak mulia
jika hari ini seorang peguam menang bicara
jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut,sabarnya mengajar tulis baca..

Saya meninggalkan alam persekolahan kira-kira 4 tahun yang lalu. Saya mula kenal abjad A, B, C dan nombor 1, 2, 3 ketika di tadika pada tahun 1992 iaitu kira-kira 17 tahun lepas. Dalam jangkamasa persekolahan saya itu sehinggalah tamat pengajian saya di universiti, entah berapa ratus cikgu-cikgu yang telah mengajar saya..

Seorang cikgu yang mengajar saya bahasa Inggeris ketika darjah 1 pada tahun 1993, masih lagi mengajar di sekolah yang sama sehingga hari ini. Malah, cikgu saya itu juga pernah mengajar abang-abang dan kakak-kakak saya sebelum saya lahir ke dunia ini. Lebih mengagumkan, anak saudara saya yang darjah 6 pun menuntut ilmu dari cikgu saya itu.

Kepada ratusan cikgu-cikgu di luar sana, terima kasih atas didikan dan ilmu yang kalian berikan..

SELAMAT HARI GURU...

Friday, May 8, 2009

..rakyat Malaysia lagi malu..

Sejak semalam saya mengikuti perkembangan sidang DUN Perak yang penuh kecoh. Pelbagai lontaran pandangan dan kritikan diluahkan para pimpinan kerajaan. Perdana Menteri, DS Mohd.Najib Razak sendiri mengatakan bahawa kekecohan DUN Perak semalam adalah sesuatu yang memalukan negara. Seluruh pimpinan BN juga mengutarakan pandangan yang sama.

Namun, menerusi undian SMS yang dijalankan semasa siaran Edisi 7 di NTV7 semalam, terdapat sebanyak 93 peratus responden yang berpendapat sidang DUN Perak yang kecoh itu TIDAK memalukan negara. Hal ini bermakna jika diambilkira dari undian SMS ini sahaja, satu kesimpulan dapat dibuat di mana terdapat 93 peratus dari satu kelompok masyarakat negara ini yang tidak bersetuju dengan pandangan DS Najib Razak berkenaan isu DUN Perak ini..

DS Najib Razak berpendapat negara mendapat malu dengan kekecohan di DUN Perak. Namun bagi saya, kekecohan di DUN Perak itu terjadi apabila BN merampas kuasa dari PR di Perak pada Februari lalu. Dan rampasan itu dilakukan di bawah telunjuk DS Najib yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak. Kesimpulannya, negara mendapat malu semalam kerana tindakan DS Najib beberapa bulan dahulu.

Negara dapat malu kerana kecohnya sidang DUN, tapi rakyat Malaysia dapat malu dengan skandal PM. Saya sebagai rakyat Malaysia terlebih malu apabila skandal mengenai Perdana Menteri negara saya dicanang ke seluruh dunia. 'Orang lama' UMNO pun malu dengan skandal DS Najib. Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu wawancara berpendapat skandal DS Najib itu memalukan negara dan menjatuhkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Ku Li dan ramai pemimpin lain bahawa Perdana Menteri, DS Najib Razak harus mengemukakan saman fitnah kepada semua agensi berita antarabangsa yang menyiarkan pembabitannya dengan pelbagai skandal itu. Tidak cukup sekadar menafikan sahaja. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika DS Najib tidak melakukan seperti apa yang didakwa, maka DS Najib perlu berani saman kepada mereka yang menyebarkan fitnah.

Namun, sehingga kini, DS Najib masih berdiam diri. Alasannya, kes masih dibicarakan di mahkamah. Sebarang kenyataan akan dianggap mengganggu urusan mahkamah. Jika itu alasannya, bukankah isu kesahihan MB Perak masih dibicarakan di mahkamah? Jadi, mengapa DS Zambry dianggap MB Perak? Tidakkah ia mengganggu urusan mahkamah.???

Saya sebagai rakyat Malaysia tidak malu akan kekecohan sidang DUN Perak itu. Rakyat boleh menilai. Rakyat bukan bodoh, rakyat tahu mana satu pihak yang benar dan mana satu pihak yang salah.

Tetapi rakyat Malaysia berasa sangat malu apabila mendapat seorang Perdana Menteri yang bukan sahaja dirinya penuh terpalit dengan kotoran skandal malah dia tidak pula mahu membasuh kotoran-kotoran yang melekat di badannya..




Thursday, May 7, 2009

..hanya woh setto tok tipu kito..

Saya merupakan peminat irama dikir barat. Saya mula mengenali dan meminati irama warisan ini ketika saya di bangku sekolah menengah lagi, iaitu kira-kira 7 tahun yang lepas. Sejak saya merantau ke Kuala Lumpur 3 tahun lalu, banyak pengalaman yang saya tempuhi sepanjang penglibatan saya dalam memartabatkan irama dikir barat ini..

Saya percaya ramai yang mengenali Halim Yazid, artis dikir barat terkenal. Saya pernah beberapa kali bertemu beliau dan mengadakan program bersamanya. Terbaru, beliau telah membuka sebuah kafe makanan yang diberi nama 'Slow Rock Cafe' di Kolej Kediaman Kesepuluh di Universiti Malaya. Apa yang menarik tentang Halim Yazid ialah lagu-lagunya. Lirik dan irama lagunya unik dan tersendiri.

Serangkap lirik dari lagu 'Amy Nga Woh Setto' sangat menarik perhatian saya, iaitu :

kalu la ado ore bertanyo
politik gapo tok tipu manusio
jawab la kato tanyo woh setto
satu-satunyo tok tipu kito

Rangkap ini menceritakan sekiranya ada sesiapa bertanya kepada kita, apakah benda yang tidak menipu manusia, maka kita jawablah bahawa hanya buah manggis (setto) yang tidak menipu kita. Mengapa perlunya kita merujuk kepada buah manggis?? Ini sebabnya :

seto buoh tok blawok dio tok tipu
oreluar kito napok supo nga alik dale
acu amy tgk cubo amy bile
luar 5 tapok 5 la isi dale

Bilangan tapak di luar manggis itu pasti sama dengan bilangan ulas isi di dalamnya.

Itulah buah manggis yang tidak pernah menipu manusia.


Saturday, May 2, 2009

..jangan benarkan gempa itu berulang lagi..

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara ini. Semuanya berlaku kerana peranan anasir-anasir luar yang sengaja meniup api kemarahan bagi melaga-lagakan perasaan dan sentimen masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia. Saya pernah terbaca dalam sebuah buku di mana Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dalam tulisannya pada bulan Jun 1969, mengungkapkan peristiwa hitam itu sebagai satu letupan gempa besar dalam masyarakat yang amat mengerikan..

Menyorot sejarah, peristiwa hitam berkenaan berlaku selepas pengumuman keputusan Pilihanraya Umum 1969 di mana dalam pilihanraya berkenaan, parti Perikatan telah hilang banyak kerusi. Malah Pulau Pinang yang sebelumnya dikuasai Perikatan telah dirampas oleh pakatan pembangkang. Parti DAP dan Gerakan yang menang banyak kerusi di Kuala Lumpur telah mengadakan perarakan di jalan-jalan di tengah bandar bagi merayakan kemenangan mereka..

Kekecohan tercetus apabila perarakan ini mula memasuki kawasan perkampungan orang Melayu di Kg.Baru. Peserta perarakan telah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan biadap kepada pihak polis dan penduduk di situ. Maka tercetuslah keganasan, bunuh-membunuh dan sebagainya. Natijahnya, pada 13 Mei 1969, berpuluh-puluh rakyat menjadi korban dan beratus-ratus lagi cedera. Kerajaan juga mengisytiharkan darurat serta merta di seluruh negara.

Itu kisah pada tahun 1969. Kurang dua minggu lagi, genaplah 40 tahun peristiwa hitam itu tercatat dalam sejarah negara ini.

8 Mac 2008 pula menyaksikan situasi yang sama di mana parti BN telah kehilangan banyak kerusi di Parlimen, malah lebih parah lagi, mereka turut hilang penguasaan di enam negeri termasuk Kuala Lumpur. Namun, kita bersyukur kerana kekecohan seperti tahun 1969 itu tidak berlaku dalam era milennium ini. Mungkin kerana hasil perpaduan, kerjasama dan semangat toleransi yang dijana sejak merdeka telah mematangkan pemikiran rakyat berbilang kaum.

Sungguhpun begitu, akhir-akhir ini saya agak khuatir apabila semakin banyak pertikaian antara kaum dan agama telah terserlah satu persatu, antaranya kes agama anak-anak dan isu kouta bumiputera yang telah dimansuhkan.Wujud kecaman dan bantahan dari pelbagai pihak di seluruh negara. Tidak kurang juga yang menyokongnya. Semua reaksi ini boleh ditemukan di laman maya dan di dada-dada akhbar. Saya percaya ini hanya satu permulaan kepada bibit-bibit kewujudan semula perasaan tidak puas hati kepada hak-hak sesuatu bangsa. Dan semua ini berlaku kurang dua bulan, DS Najib Tun Razak memegang tampuk pemerintahan negara.

Saya berharap dan berdoa agar keadaan negara ini akan lebih baik, aman dan makmur, bukan menuju kehancuran. Saya juga memohon kepada semua rakyat agar bersama-sama menanam perasaan cintakan negara dan agama, peliharalah bumi tercinta ini dan kekalkanlah silaturrahim sesama kita..

Jangan benarkan gempa itu berulang lagi...


Tuesday, April 28, 2009

...segalanya mungkin dalam politik...

Dalam dunia politik, segalanya mungkin berlaku.

Saya suka mengambil contoh yang berlaku 27 tahun yang lalu iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bergelar Presiden ABIM pada tahun 1982. Semua orang begitu yakin bahawa beliau akan menyertai PAS dan bukan UMNO. Malah kemungkinan beliau menyertai UMNO hampir tidak ada. Namun, tidak disangka-sangka, Anwar Ibrahim menyertai UMNO dengan diumumkan sendiri oleh Dr.Mahathir. Seterusnya, Anwar dilantik pula sebagai Timbalan Menteri selepas memenangi pilihanraya di kerusi Permatang Pauh dengan majoriti lebih 14,000 undi. Siapa sangka 11 tahun selepas itu, Anwar Ibrahim memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri..

Segalanya mungkin dalam politik..

Hari ini dalam laporan akhbar internet, seorang wakil rakyat BN di negeri Kedah yang telah diiisytiharkan muflis pada tahun lalu enggan meletakkan jawatan. Pada pandangan saya, wakil rakyat ini sangat wajar untuk sukarela meletak jawatan kerana dalam peraturan SPR sendiri mengatakan seseorang yang didapati muflis tidak layak untuk menjadi wakil rakyat. Ataupun, SPR perlu mengemukakan sebab atas kewajaran apa wakil rakyat terbabit tidak perlu meletak jawatan. Adakah rakyat Kuala Nerang akan berhadapan dengan pilihanraya kecil sekali lagi..?? Terpulang pada SPR..

Segalanya mungkin dalam politik..

Hari ini juga, hakim-hakim telah memutuskan kes Nizar-Zambry perlu kembali didengar di Mahkamah Tinggi. Kemelut politik Perak semakin kusut. Dahulu di Mahkamah Tinggi, kemudian ke Mahkamah Persekutuan, sekarang kembali semula ke Mahkamah Tinggi. Saya bukanlah orang yang arif dalam bidang perundangan dan kehakiman, namun apabila menyaksikan seperti ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, ia pasti satu kesilapan apabila BN me'rampas' Perak dahulu. Mungkinkah Ir.Nizar akan kembali menghuni kediaman rasmi Menteri Besar..??

Segalanya mungkin dalam politik...

Berbalik pada kisah Anwar Ibrahim tadi. Pada tahun 1993, Dr.Mahathir melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Umum menyangka beliaulah akan bergelar Perdana Menteri Malaysia kelima. Tetapi ramalan itu salah apabila Anwar dipecat pada tahun 1998.. Sekarang, Anwar menjadi Ketua Pembangkang dan diramal menjadi PM Malaysia ketujuh selepas pilihanraya umum akan datang.. Itu ramalan orang ramai...

Tapi, waspadalah kerana segalanya mungkin dalam politik...

Perancangan Allah mengatasi perancangan manusia..


Monday, April 27, 2009

...yang haram ada di Lumut malam tadi..

Malam tadi sempat juga saya dalam menukar-nukar saluran TV, menonton seketika konsert Jom Heboh yang pernah difatwakan haram oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria beberapa tahun lepas. Konsert haram berkenaan diadakan di Pangkalan TLDM Lumut malam tadi menarik minat puluhan ribu manusia seperti yang dapat disaksikan dalam TV.

Tapi, tak terlintas langsung di fikiran penulis untuk mengaitkan fatwa Mufti Perak itu dengan konsert di Lumut malam tadi. Setelah membaca blog orang lain barulah tersedar akan keadaan yang sebenarnya. Ramai mempersoal mengapa mufti Perak tidak bersuara sedangkan konsert haram ini diadakan di Perak.

Agaknya dah jadi '..halal..' kot.

..peluk hormat..

Ketika saya masih kecil, ibu bapa saya berpesan..jika kita berjalan di hadapan orang yang lebih tua..kita perlu tunduk sedikit..tanda kita hormat kepada mereka.. Begitu juga jika kita ingin berjalan di celah-celah orang ramai yang sedang duduk..tunduklah sedikit ketika berjalan itu sebagai tanda hormat kepada mereka yang sedang duduk..

Banyak cara untuk kita tunjukkan hormat..kadang-kadang tak perlu perlakuan dan perbuatan.. cukup sekadar kata-kata kita sahaja.. Bercakap dengan teratur dan bersopan juga salah satu cara kita menunjukkan penghormatan kita pada seseorang.. Semua ini saya amalkan hingga hari ini dan mudah-mudahan sehingga saya kembali kepada Allah nanti..

Saya juga sering memeluk kedua ibu bapa saya sebagai tanda kasih sayang saya kepada mereka. Pelukan juga menjadi perkara wajib yang saya berikan kepada orang tua saya jika saya ingin pulang ke Kuala Lumpur, tanda rindu, kasih dan penghormatan saya pada mereka yang bersusah payah membesarkan saya.

Namun, apabila saya membuka satu laman web hari ini, saya terbaca satu berita di mana saya berfikir panjang akan kewajaran seorang peserta program realiti menunjukkan rasa hormat kepada tenaga pengajarnya dengan memeluk mereka, yang kebanyakan perempuan.

Ingin menghormati tenaga pengajar, tapi seolah-olah menghina hukum Islam..


..luka lama berdarah kembali...

Ketika saya masih di Tingkatan 5, saya telah jatuh hati pada rakan sekelas saya.. Ketika itu saya merupakan ketua pengawas di sekolah, jadi saya agak dikenali di kalangan guru-guru dan pelajar lain.

Cinta hati saya ketika itu, namanya Siti.. Lemah lembut orangnya... Cinta monyet kami hanya bertahan selama kira-kira 3 bulan..dia minta memutuskan hubungan. Saya akur.. Mungkin juga kerana sikap nakal saya ketika itu yang selalu nak memancing awek-awek lain...hehe..zaman muda saya memang nakal.. Memang banyak kontroversi, biarlah saya dan Siti serta orang yang terlibat sahaja yang tahu..

Dua tahun kemudian, kami bersama-sama menduduki STPM di sekolah yang sama, kelas yang sama.. Kemudian, Siti melanjutkan pelajaran ke IPT di utara tanah air dan saya pula ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur.. Kisah cinta lama kami terkubur begitu sahaja.. Tamabahan pula, saya memang awal-awal lagi dah pasang niat, 'NO COUPLE' ketika belajar.. heheh..

6 tahun berlalu..

Hari ini, saya dan Siti berbicara semula selepas begitu lama tidak bersua muka.. Bukan secara LIVE tapi hanya di alam maya.. Saya dan Siti saling bertukar cerita di Yahoo Messenger (budak2 sebut YM) termasuklah kisah cinta monyet kami dulu.. Terasa lucu mengenangkan perangai masing-masing ketika masih di bangku sekolah dulu..

Bila masuk bab kontroversi cinta saya dulu, tiba-tiba terbit perasaan yang sangat beremosi tatkala disoal bertalu-talu oleh Siti.. Tak malu saya mengatakan, air mata jantan ini terbit jua tanpa disangka..Segala perasaan itu apabila diulit sebegitu rupa, memang meruntunkan jiwa raga.. Ya Allah, ampunkan aku.. Aku hambaMu yang lemah..

Apa yang pasti, bicara saya dengan Siti hari ini telah membuatkan luka lama yang saya pendam bertahun-tahun berdarah kembali... Ingin rasanya saya minta Siti yang ubatkan luka saya itu.. Tapi apakan daya, dia sudah berpunya..

Ada sesiapa yang boleh ubatkan luka saya??


Saturday, April 25, 2009

..kerajaan menongkah arus..

Sepanjang minggu ini walaupun tengah sibuk dengan peperiksaan semester akhir, ada tiga perkara yang menarik perhatian saya tentang tindakan dan pendirian kerajaan.

1. Isu kouta bumiputra 30 peratus

2.Isu tukar agama anak-anak

3.Isu jambatan bengkok

Saya akan mengulas 3 isu ini bila tiba masanya, setelah mendengar respon semua pihak...terutamanya Pak Menteri dari kabinet baru DS Najib Razak..

Teringat lagu lama nyanyian Tan Sri S.M Salim....'...dulu lain, sekarang lain...'

Saturday, April 11, 2009

..langkah pertama..

Salam..

Salam perkenalan buat semua..

http://munazli.blogspot.com/ merupakan satu laman maya peribadi yang diwujudkan sekadar berkongsi pengalaman dan perjalanan hidup yang penuh liku ini..

semoga kewujudan blog ini dapat menambah kemeriahan laman maya..

salam..


3.03 petang,
11 April 2009,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.