Saturday, May 16, 2009

..penghargaan kepada guru..

Hari ini, 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut setiap tahun di negara ini, bagi memberi makna sebuah penghargaan terhadap guru seperti mana madah-madah sajak nukilan Sasterawan Negara, Usman Awang :

jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
jika hari ini seorang raja menaiki takhta
jika hari ini seorang presiden sebuah negara
jika hari ini seorang ulamak mulia
jika hari ini seorang peguam menang bicara
jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut,sabarnya mengajar tulis baca..

Saya meninggalkan alam persekolahan kira-kira 4 tahun yang lalu. Saya mula kenal abjad A, B, C dan nombor 1, 2, 3 ketika di tadika pada tahun 1992 iaitu kira-kira 17 tahun lepas. Dalam jangkamasa persekolahan saya itu sehinggalah tamat pengajian saya di universiti, entah berapa ratus cikgu-cikgu yang telah mengajar saya..

Seorang cikgu yang mengajar saya bahasa Inggeris ketika darjah 1 pada tahun 1993, masih lagi mengajar di sekolah yang sama sehingga hari ini. Malah, cikgu saya itu juga pernah mengajar abang-abang dan kakak-kakak saya sebelum saya lahir ke dunia ini. Lebih mengagumkan, anak saudara saya yang darjah 6 pun menuntut ilmu dari cikgu saya itu.

Kepada ratusan cikgu-cikgu di luar sana, terima kasih atas didikan dan ilmu yang kalian berikan..

SELAMAT HARI GURU...

Friday, May 8, 2009

..rakyat Malaysia lagi malu..

Sejak semalam saya mengikuti perkembangan sidang DUN Perak yang penuh kecoh. Pelbagai lontaran pandangan dan kritikan diluahkan para pimpinan kerajaan. Perdana Menteri, DS Mohd.Najib Razak sendiri mengatakan bahawa kekecohan DUN Perak semalam adalah sesuatu yang memalukan negara. Seluruh pimpinan BN juga mengutarakan pandangan yang sama.

Namun, menerusi undian SMS yang dijalankan semasa siaran Edisi 7 di NTV7 semalam, terdapat sebanyak 93 peratus responden yang berpendapat sidang DUN Perak yang kecoh itu TIDAK memalukan negara. Hal ini bermakna jika diambilkira dari undian SMS ini sahaja, satu kesimpulan dapat dibuat di mana terdapat 93 peratus dari satu kelompok masyarakat negara ini yang tidak bersetuju dengan pandangan DS Najib Razak berkenaan isu DUN Perak ini..

DS Najib Razak berpendapat negara mendapat malu dengan kekecohan di DUN Perak. Namun bagi saya, kekecohan di DUN Perak itu terjadi apabila BN merampas kuasa dari PR di Perak pada Februari lalu. Dan rampasan itu dilakukan di bawah telunjuk DS Najib yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak. Kesimpulannya, negara mendapat malu semalam kerana tindakan DS Najib beberapa bulan dahulu.

Negara dapat malu kerana kecohnya sidang DUN, tapi rakyat Malaysia dapat malu dengan skandal PM. Saya sebagai rakyat Malaysia terlebih malu apabila skandal mengenai Perdana Menteri negara saya dicanang ke seluruh dunia. 'Orang lama' UMNO pun malu dengan skandal DS Najib. Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu wawancara berpendapat skandal DS Najib itu memalukan negara dan menjatuhkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Ku Li dan ramai pemimpin lain bahawa Perdana Menteri, DS Najib Razak harus mengemukakan saman fitnah kepada semua agensi berita antarabangsa yang menyiarkan pembabitannya dengan pelbagai skandal itu. Tidak cukup sekadar menafikan sahaja. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika DS Najib tidak melakukan seperti apa yang didakwa, maka DS Najib perlu berani saman kepada mereka yang menyebarkan fitnah.

Namun, sehingga kini, DS Najib masih berdiam diri. Alasannya, kes masih dibicarakan di mahkamah. Sebarang kenyataan akan dianggap mengganggu urusan mahkamah. Jika itu alasannya, bukankah isu kesahihan MB Perak masih dibicarakan di mahkamah? Jadi, mengapa DS Zambry dianggap MB Perak? Tidakkah ia mengganggu urusan mahkamah.???

Saya sebagai rakyat Malaysia tidak malu akan kekecohan sidang DUN Perak itu. Rakyat boleh menilai. Rakyat bukan bodoh, rakyat tahu mana satu pihak yang benar dan mana satu pihak yang salah.

Tetapi rakyat Malaysia berasa sangat malu apabila mendapat seorang Perdana Menteri yang bukan sahaja dirinya penuh terpalit dengan kotoran skandal malah dia tidak pula mahu membasuh kotoran-kotoran yang melekat di badannya..




Thursday, May 7, 2009

..hanya woh setto tok tipu kito..

Saya merupakan peminat irama dikir barat. Saya mula mengenali dan meminati irama warisan ini ketika saya di bangku sekolah menengah lagi, iaitu kira-kira 7 tahun yang lepas. Sejak saya merantau ke Kuala Lumpur 3 tahun lalu, banyak pengalaman yang saya tempuhi sepanjang penglibatan saya dalam memartabatkan irama dikir barat ini..

Saya percaya ramai yang mengenali Halim Yazid, artis dikir barat terkenal. Saya pernah beberapa kali bertemu beliau dan mengadakan program bersamanya. Terbaru, beliau telah membuka sebuah kafe makanan yang diberi nama 'Slow Rock Cafe' di Kolej Kediaman Kesepuluh di Universiti Malaya. Apa yang menarik tentang Halim Yazid ialah lagu-lagunya. Lirik dan irama lagunya unik dan tersendiri.

Serangkap lirik dari lagu 'Amy Nga Woh Setto' sangat menarik perhatian saya, iaitu :

kalu la ado ore bertanyo
politik gapo tok tipu manusio
jawab la kato tanyo woh setto
satu-satunyo tok tipu kito

Rangkap ini menceritakan sekiranya ada sesiapa bertanya kepada kita, apakah benda yang tidak menipu manusia, maka kita jawablah bahawa hanya buah manggis (setto) yang tidak menipu kita. Mengapa perlunya kita merujuk kepada buah manggis?? Ini sebabnya :

seto buoh tok blawok dio tok tipu
oreluar kito napok supo nga alik dale
acu amy tgk cubo amy bile
luar 5 tapok 5 la isi dale

Bilangan tapak di luar manggis itu pasti sama dengan bilangan ulas isi di dalamnya.

Itulah buah manggis yang tidak pernah menipu manusia.


Saturday, May 2, 2009

..jangan benarkan gempa itu berulang lagi..

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara ini. Semuanya berlaku kerana peranan anasir-anasir luar yang sengaja meniup api kemarahan bagi melaga-lagakan perasaan dan sentimen masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia. Saya pernah terbaca dalam sebuah buku di mana Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dalam tulisannya pada bulan Jun 1969, mengungkapkan peristiwa hitam itu sebagai satu letupan gempa besar dalam masyarakat yang amat mengerikan..

Menyorot sejarah, peristiwa hitam berkenaan berlaku selepas pengumuman keputusan Pilihanraya Umum 1969 di mana dalam pilihanraya berkenaan, parti Perikatan telah hilang banyak kerusi. Malah Pulau Pinang yang sebelumnya dikuasai Perikatan telah dirampas oleh pakatan pembangkang. Parti DAP dan Gerakan yang menang banyak kerusi di Kuala Lumpur telah mengadakan perarakan di jalan-jalan di tengah bandar bagi merayakan kemenangan mereka..

Kekecohan tercetus apabila perarakan ini mula memasuki kawasan perkampungan orang Melayu di Kg.Baru. Peserta perarakan telah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan biadap kepada pihak polis dan penduduk di situ. Maka tercetuslah keganasan, bunuh-membunuh dan sebagainya. Natijahnya, pada 13 Mei 1969, berpuluh-puluh rakyat menjadi korban dan beratus-ratus lagi cedera. Kerajaan juga mengisytiharkan darurat serta merta di seluruh negara.

Itu kisah pada tahun 1969. Kurang dua minggu lagi, genaplah 40 tahun peristiwa hitam itu tercatat dalam sejarah negara ini.

8 Mac 2008 pula menyaksikan situasi yang sama di mana parti BN telah kehilangan banyak kerusi di Parlimen, malah lebih parah lagi, mereka turut hilang penguasaan di enam negeri termasuk Kuala Lumpur. Namun, kita bersyukur kerana kekecohan seperti tahun 1969 itu tidak berlaku dalam era milennium ini. Mungkin kerana hasil perpaduan, kerjasama dan semangat toleransi yang dijana sejak merdeka telah mematangkan pemikiran rakyat berbilang kaum.

Sungguhpun begitu, akhir-akhir ini saya agak khuatir apabila semakin banyak pertikaian antara kaum dan agama telah terserlah satu persatu, antaranya kes agama anak-anak dan isu kouta bumiputera yang telah dimansuhkan.Wujud kecaman dan bantahan dari pelbagai pihak di seluruh negara. Tidak kurang juga yang menyokongnya. Semua reaksi ini boleh ditemukan di laman maya dan di dada-dada akhbar. Saya percaya ini hanya satu permulaan kepada bibit-bibit kewujudan semula perasaan tidak puas hati kepada hak-hak sesuatu bangsa. Dan semua ini berlaku kurang dua bulan, DS Najib Tun Razak memegang tampuk pemerintahan negara.

Saya berharap dan berdoa agar keadaan negara ini akan lebih baik, aman dan makmur, bukan menuju kehancuran. Saya juga memohon kepada semua rakyat agar bersama-sama menanam perasaan cintakan negara dan agama, peliharalah bumi tercinta ini dan kekalkanlah silaturrahim sesama kita..

Jangan benarkan gempa itu berulang lagi...