Saturday, May 2, 2009

..jangan benarkan gempa itu berulang lagi..

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara ini. Semuanya berlaku kerana peranan anasir-anasir luar yang sengaja meniup api kemarahan bagi melaga-lagakan perasaan dan sentimen masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia. Saya pernah terbaca dalam sebuah buku di mana Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dalam tulisannya pada bulan Jun 1969, mengungkapkan peristiwa hitam itu sebagai satu letupan gempa besar dalam masyarakat yang amat mengerikan..

Menyorot sejarah, peristiwa hitam berkenaan berlaku selepas pengumuman keputusan Pilihanraya Umum 1969 di mana dalam pilihanraya berkenaan, parti Perikatan telah hilang banyak kerusi. Malah Pulau Pinang yang sebelumnya dikuasai Perikatan telah dirampas oleh pakatan pembangkang. Parti DAP dan Gerakan yang menang banyak kerusi di Kuala Lumpur telah mengadakan perarakan di jalan-jalan di tengah bandar bagi merayakan kemenangan mereka..

Kekecohan tercetus apabila perarakan ini mula memasuki kawasan perkampungan orang Melayu di Kg.Baru. Peserta perarakan telah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan biadap kepada pihak polis dan penduduk di situ. Maka tercetuslah keganasan, bunuh-membunuh dan sebagainya. Natijahnya, pada 13 Mei 1969, berpuluh-puluh rakyat menjadi korban dan beratus-ratus lagi cedera. Kerajaan juga mengisytiharkan darurat serta merta di seluruh negara.

Itu kisah pada tahun 1969. Kurang dua minggu lagi, genaplah 40 tahun peristiwa hitam itu tercatat dalam sejarah negara ini.

8 Mac 2008 pula menyaksikan situasi yang sama di mana parti BN telah kehilangan banyak kerusi di Parlimen, malah lebih parah lagi, mereka turut hilang penguasaan di enam negeri termasuk Kuala Lumpur. Namun, kita bersyukur kerana kekecohan seperti tahun 1969 itu tidak berlaku dalam era milennium ini. Mungkin kerana hasil perpaduan, kerjasama dan semangat toleransi yang dijana sejak merdeka telah mematangkan pemikiran rakyat berbilang kaum.

Sungguhpun begitu, akhir-akhir ini saya agak khuatir apabila semakin banyak pertikaian antara kaum dan agama telah terserlah satu persatu, antaranya kes agama anak-anak dan isu kouta bumiputera yang telah dimansuhkan.Wujud kecaman dan bantahan dari pelbagai pihak di seluruh negara. Tidak kurang juga yang menyokongnya. Semua reaksi ini boleh ditemukan di laman maya dan di dada-dada akhbar. Saya percaya ini hanya satu permulaan kepada bibit-bibit kewujudan semula perasaan tidak puas hati kepada hak-hak sesuatu bangsa. Dan semua ini berlaku kurang dua bulan, DS Najib Tun Razak memegang tampuk pemerintahan negara.

Saya berharap dan berdoa agar keadaan negara ini akan lebih baik, aman dan makmur, bukan menuju kehancuran. Saya juga memohon kepada semua rakyat agar bersama-sama menanam perasaan cintakan negara dan agama, peliharalah bumi tercinta ini dan kekalkanlah silaturrahim sesama kita..

Jangan benarkan gempa itu berulang lagi...


No comments:

Post a Comment