Friday, May 8, 2009

..rakyat Malaysia lagi malu..

Sejak semalam saya mengikuti perkembangan sidang DUN Perak yang penuh kecoh. Pelbagai lontaran pandangan dan kritikan diluahkan para pimpinan kerajaan. Perdana Menteri, DS Mohd.Najib Razak sendiri mengatakan bahawa kekecohan DUN Perak semalam adalah sesuatu yang memalukan negara. Seluruh pimpinan BN juga mengutarakan pandangan yang sama.

Namun, menerusi undian SMS yang dijalankan semasa siaran Edisi 7 di NTV7 semalam, terdapat sebanyak 93 peratus responden yang berpendapat sidang DUN Perak yang kecoh itu TIDAK memalukan negara. Hal ini bermakna jika diambilkira dari undian SMS ini sahaja, satu kesimpulan dapat dibuat di mana terdapat 93 peratus dari satu kelompok masyarakat negara ini yang tidak bersetuju dengan pandangan DS Najib Razak berkenaan isu DUN Perak ini..

DS Najib Razak berpendapat negara mendapat malu dengan kekecohan di DUN Perak. Namun bagi saya, kekecohan di DUN Perak itu terjadi apabila BN merampas kuasa dari PR di Perak pada Februari lalu. Dan rampasan itu dilakukan di bawah telunjuk DS Najib yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak. Kesimpulannya, negara mendapat malu semalam kerana tindakan DS Najib beberapa bulan dahulu.

Negara dapat malu kerana kecohnya sidang DUN, tapi rakyat Malaysia dapat malu dengan skandal PM. Saya sebagai rakyat Malaysia terlebih malu apabila skandal mengenai Perdana Menteri negara saya dicanang ke seluruh dunia. 'Orang lama' UMNO pun malu dengan skandal DS Najib. Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu wawancara berpendapat skandal DS Najib itu memalukan negara dan menjatuhkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Ku Li dan ramai pemimpin lain bahawa Perdana Menteri, DS Najib Razak harus mengemukakan saman fitnah kepada semua agensi berita antarabangsa yang menyiarkan pembabitannya dengan pelbagai skandal itu. Tidak cukup sekadar menafikan sahaja. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika DS Najib tidak melakukan seperti apa yang didakwa, maka DS Najib perlu berani saman kepada mereka yang menyebarkan fitnah.

Namun, sehingga kini, DS Najib masih berdiam diri. Alasannya, kes masih dibicarakan di mahkamah. Sebarang kenyataan akan dianggap mengganggu urusan mahkamah. Jika itu alasannya, bukankah isu kesahihan MB Perak masih dibicarakan di mahkamah? Jadi, mengapa DS Zambry dianggap MB Perak? Tidakkah ia mengganggu urusan mahkamah.???

Saya sebagai rakyat Malaysia tidak malu akan kekecohan sidang DUN Perak itu. Rakyat boleh menilai. Rakyat bukan bodoh, rakyat tahu mana satu pihak yang benar dan mana satu pihak yang salah.

Tetapi rakyat Malaysia berasa sangat malu apabila mendapat seorang Perdana Menteri yang bukan sahaja dirinya penuh terpalit dengan kotoran skandal malah dia tidak pula mahu membasuh kotoran-kotoran yang melekat di badannya..




No comments:

Post a Comment