Wednesday, September 16, 2009

..mencari kebaikan seribu malam..

Sepanjang minggu ini, kawasan kampung saya setiap malam dibingitkan dengan bunyi letupan mercun dan meriam 'kabad', iaitu sejenis meriam buatan sendiri yang cukup popular di kawasan desa dan kampung-kampung. Anak-anak muda di Jengka tidak serupa dengan anak-anak muda di bandar-bandar. Mereka pandai membuat meriam buatan sendiri, yang bunyi letupannya boleh menggegarkan bumbung rumah kita..

Situasi berkenaan bermaksud Aidilfitri bakal menjelang tiba, manakala Ramadhan kian meninggalkan kita. Ketika saya menulis posting ini, sudah 26 hari umat Islam berpuasa, malam ini merupakan malam ke 27. Ia termasuk dalam malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan yang dijanjikan Allah malam Lailatul Qadar pada satu dari mana-mana malam tersebut.

Lailatul Qadar disebut Allah sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Jika dihitungkan, seribu bulan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun, satu jangkamasa yang begitu lama. Jarang-jarang kita dengar pada hari ini ada manusia yang hidupnya boleh bertahan hingga berusia 83 tahun, Nabi kita sendiri pun hanya dipanjangkan usianya oleh Allah hingga umur 63 tahun.

Namun, seperti sudah menjadi satu kelaziman, surau-surau dan masjid-masjid akan semakin lengang dan kosong menjelang 10 malam terakhir. Sudah menjadi 'terbalik kot'. Jangkamasa yang dijanjikan Allah pembebasan dari api neraka itu, tidak direbut dengan sebaiknya oleh sesetengah daripada kita. Mungkin mereka yang tidak hadir menunaikan tarawih di masjid itu, sibuk dengan anak-anak dan cucu-cucu yang baru pulang dari kota, almaklumlah, dah lama tak jumpa..mungkin saja...

Suasana tarawih di kampung saya tahun ini sedikit berlainan. Tidak seperti tahun-tahun sudah, tahun ini alhamdulillah, cukup ramai jemaah yang masih hadir berjemaah Isyak dan tarawih di masjid walaupun sudah menghampiri ke penghujung Ramadhan ini. Lebih membanggakan, terdapat juga ramai anak-anak muda dan generasi cilik yang masih bersekolah rendah cukup ramai hadir. Alhamdulillah..

Apa yang kita mohon supaya Allah kurniakan kebaikan malam seribu bulan kepada kita, InsyaALLAH..


No comments:

Post a Comment