Wednesday, September 16, 2009

..mencari kebaikan seribu malam..

Sepanjang minggu ini, kawasan kampung saya setiap malam dibingitkan dengan bunyi letupan mercun dan meriam 'kabad', iaitu sejenis meriam buatan sendiri yang cukup popular di kawasan desa dan kampung-kampung. Anak-anak muda di Jengka tidak serupa dengan anak-anak muda di bandar-bandar. Mereka pandai membuat meriam buatan sendiri, yang bunyi letupannya boleh menggegarkan bumbung rumah kita..

Situasi berkenaan bermaksud Aidilfitri bakal menjelang tiba, manakala Ramadhan kian meninggalkan kita. Ketika saya menulis posting ini, sudah 26 hari umat Islam berpuasa, malam ini merupakan malam ke 27. Ia termasuk dalam malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan yang dijanjikan Allah malam Lailatul Qadar pada satu dari mana-mana malam tersebut.

Lailatul Qadar disebut Allah sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Jika dihitungkan, seribu bulan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun, satu jangkamasa yang begitu lama. Jarang-jarang kita dengar pada hari ini ada manusia yang hidupnya boleh bertahan hingga berusia 83 tahun, Nabi kita sendiri pun hanya dipanjangkan usianya oleh Allah hingga umur 63 tahun.

Namun, seperti sudah menjadi satu kelaziman, surau-surau dan masjid-masjid akan semakin lengang dan kosong menjelang 10 malam terakhir. Sudah menjadi 'terbalik kot'. Jangkamasa yang dijanjikan Allah pembebasan dari api neraka itu, tidak direbut dengan sebaiknya oleh sesetengah daripada kita. Mungkin mereka yang tidak hadir menunaikan tarawih di masjid itu, sibuk dengan anak-anak dan cucu-cucu yang baru pulang dari kota, almaklumlah, dah lama tak jumpa..mungkin saja...

Suasana tarawih di kampung saya tahun ini sedikit berlainan. Tidak seperti tahun-tahun sudah, tahun ini alhamdulillah, cukup ramai jemaah yang masih hadir berjemaah Isyak dan tarawih di masjid walaupun sudah menghampiri ke penghujung Ramadhan ini. Lebih membanggakan, terdapat juga ramai anak-anak muda dan generasi cilik yang masih bersekolah rendah cukup ramai hadir. Alhamdulillah..

Apa yang kita mohon supaya Allah kurniakan kebaikan malam seribu bulan kepada kita, InsyaALLAH..


Monday, September 14, 2009

..cerita MIC dan meniup habuk..

Sekian lama saya tidak menjengah laman blog ini, sememangnya penuhlah ia dengan 'habuk-habuk kesunyian'. Hari ini saya tiup habuk-habuk itu dan insyaAllah, saya akan kembali gilap blog ini sampai berkilat, agar tiada habuk yang akan bertandang lagi..

Di sekeliling kita hari ini, begitu banyak isu yang boleh diperkatakan. Pergi sahaja ke mana-mana warung kopi selepas tarawih malam ini, pasti ia akan riuh rendah dengan pelbagai debat, diskusi, dan sebagainya, takj kurang juga yang berlawak jenaka hingga menarik perhatian orang lain yang tak ada kena mengena pun dengan cerita mereka.

Hari ini, saya sedikit berminat dengan cerita yang berlaku dalam MIC, parti terbesar kaum India di negara ini. Satu Malaysia (1Malaysia) sedia maklum bahawa Datuk Seri S.Samy Vellu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemegang jawatan Presiden paling lama dalam sesebuah parti politik di negara ini. Samy menjadi Presiden MIC pada tahun 1979, ketika saya dan hampir majoriti anak muda masa kini belum pun dilahirkan lagi..!! Ini satu sejarah penting..!! Patutnya perlu dipanggil Malaysia Book of Records (MBOR) hadir menyampaikan sijil kepada Datuk Samy atas pencapaian menakjubkan beliau itu..

Itu yang seronoknya, tapi ada juga cerita yang tak seronok.. Berikutan keputusan pemilihan itu, ramai yang meramalkan MIC akan makin tersungkur pada masa akan datang. Hal ini tidaklah sukar untuk difikirkan logiknya. Datuk Subra, bekas Timbalan Presiden selama 20 tahun kalah buat kali kedua dalam pertandingan kali ini. Beliau memperoleh undi yang agak banyak juga dari perwakilan, hanya kurang 82 undi dari pemenangnya, Datuk Palanivel.

Selepas itu, Datuk Samy membayangkan Datuk Subra akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti kerana beberapa alasan. Nampaknya sekali lagi presiden parti menggunakan pengaruhnya selepas mendesak perwakilan mengundi calon pilihan beliau. Hasilnya, menanglah Palanivel, Dr.S.Subramaniam, Devamany, Saravanan dan ahli CWC lainnya. Apapun, paling menarik untuk diperhatikan ialah undi perwakilan yang sebanyak lebih 800 undi itu telah memihak Datuk Subra dan Datuk Sothi itu petanda amat jelas bahawa mereka menolak Palanivel dan secara tidak langsung menolak Samy Vellu.

Datuk G Palanivel* - 629
Datuk S Subramaniam - 547
Datuk S Sothinathan - 280

Jelas, walaupun calon pilihan presiden menang bergaya dalam pemilihan MIC kali ini, jauh di sudut hati perwakilan, mereka sebenarnya ingin meniup 'habuk-habuk' dalam MIC agar keluar jauh dari parti itu..